Friday, May 23, 2014

Perkongsian Dari Pengasas Islamic Museum of Australia


Moustafa Fahour mendapat idea untuk menubuhkan Islamic Museum of Australia pada tahun 2010. Pada masa itu beliau berkhidmat dalam firma kewangan ternama di Australia. Antara faktor yang mencetuskan idea tersebut adalah beberapa insiden kekerasan yang berlaku terhadap komuniti Muslim di Australia. 

Puncanya? Kurangnya pendedahan dan pendidikan tentang apa sebenarnya Islam. Oleh itu, beliau memikirkan seni sebagai satu jambatan bagi mengatasi jurang ini. 

Persepi umum masyarakat Australia adalah orang Islam hanyalah orang-orang Lubnan. Sebenarnya budaya dan latar belakang masyarakat Islam Australia lebih luas dari itu. Namun, tidak ramai yang tahu sejarah sebenar Islam di Australia dan tidak ada satu timeline kedatangan Islam di Australia.

Moustafa Fahour mengambil keputusan untuk memahami sendiri sejarah Islam di Australia. Sejarah yang bermula jauh sebelum kedatangan penjajah Eropah ke Australia. Oleh itu tercetuslah ekspedisi Boundless Plain yang meliputi perjalanan sejauh 20,000km. Ekspedisi tersebut disertai rakan beliau Ashraf Naim sbeagai pengurus serta Peter Gould sebagai fotografer dan Jehad sebagai videografer. 

Pertemuan awal Australia dengan Islam adalah melalui pedagang Melayu yang tiba di pesisir utara Asutralia. Mereka berdagang dengan masyarakat asli Australia. Kedatangan mereka mempengaruhi budaya tempatan apabila perkataan seperti rupiah digunakan dan upacara pengebumian meniru upacara pengebumian Muslim. 

Apabila penjajah British tiba di Australia barulah mereka membawa para pengembala unta Afghan bagi mengendalikan unta-unta untuk projek pembinaan. Mereka sebenarnya bukan sahaja daripada Afghanistan tetapi India, Pakistan, Kashmir, dan kawasan sekitarnya. Kehadiran mereka bersama unta-unta membolehkan bandar-bandar utama Australia dihubungkan dengan laluan keretapi dan membuka kawasan-kawasan baru.

Setelah projek British tamat, ramai yang tidak dapat pulang ke kampung halaman. Oleh itu ramai yang menetap dan berkahwin dengan masyarakat asli Australia. Orang Melayu juga datang lagi selepas itu apabila mereka dibawa British untuk berkerja dalam industri mutiara di pantai barat Australia pada penghujung kurun ke-19. Lama selepas itu barulah datang para imigran dari Lubnan, Bosnia dan Turki. 

Dokumentari yang terhasil daripada ekspedisi ini menjadi salah satu tunjang Islamic Museum of Australia yang akhirnya dibuka pada Mac 2014 di Melbourne. Boundless Plain II pula akan menyusul tidak lama lagi dengan fokus khas kepada masyarakat Melayu dari Indonesia dan Malaysia.

Catatan daripada acara di Muzium Kesenian Islam Malaysia pada 18 April 2014

No comments:

Post a Comment